Sunday, December 9, 2018

Redha Saat Diuji

Sumber Google
Manusia, dinamakan 'Insan' kerana sifat lupanya. Asal perkataan 'Insan' adalah 'An-Nisyan' (disebut An-Nis-Yan). Manusia seringkali lupa pada yang Memberi Rezki tatkala diberi kesenangan. Lalu diturunkan ujian agar mereka kembali ingat padaNya. Maka beruntunglah siapa yang diuji kerana ujian itu tanda sayangnya Allah pada mereka. Dan lebih beruntung bagi mereka yang sentiasa bersyukur walau di saat ujian menimpa.

Kadangkala bila diuji dengan ujian yang begitu berat (pada sangkaan kita), terlintas di fikiran kita, "Kenapa aku diuji sebegini?" "Kenapa perkara ini terjadi?" "Bagaimana ia boleh terjadi?"... Lupakah kita pada hakikat bahawa jalan cerita, jalan hidup kita ini sebenarnya telah lama tertulis di Luh Mahfuz, sebelum lahirnya kita di atas muka bumi Allah ini? Ia hanya menunggu waktu untuk berlaku. Dan saat tibanya waktu itu, takkan cepat walau sesaat, takkan terlewat walau seminit.

Ia seperti skrip dan jalan cerita yang ditulis oleh penulis skrip yang bakal dilakonkan oleh pelakon di set penggambaran. Kita lah pelakon itu, yang akan memainkan watak yang diberikan oleh pengarah, dan dunia inilah pentas kita. Namun, bagaimana untuk melakonkan watak itu, terserah atas kebijaksanaan serta kreativiti sendiri. Tiada siapa yang akan memaksa.

Jadi, adakah apa yang kita lakukan saat menerima ujian itu dikira sebagai takdir? Adakah jika kita memilih untuk menyalahkan Tuhan, itu dikira sebagai 'takdir'? "Dah TAKDIR aku jadi begini...". Seringkali itu ungkapan (alasan) yang diberikan untuk melepaskan diri dari kesalahan yang dilakukan. BUKAN itu maksud takdir! Tindakan kita adalah pilihan kita sendiri, itu bukan takdir yang ditentukan oleh Allah ke atas kita!

Setiap manusia telah diberi AKAL fikiran untuk berfikir. Maka atas pilihan sendiri samaada ingin mensyukuri ujian yang menimpa, atau mengkufurinya. Pilihlah untuk melihat kepada kebaikan yang datang bersama-sama dengan ujian tersebut, insyaAllah kita pasti akan mensyukurinya. Dan saat kita merasakan hebatnya ujian yang menimpa kita, pandanglah pada mereka yang diuji dengan ujian yang jauh lebih hebat. Nescaya kita akan merasakan begitu kecilnya ujian yang menimpa kita, serta kita akan merasa redha.

Kita perlu ingat, Allah tidak akan sekali-kali menguji seseorang itu di luar kemampuannya. Dan di sebalik setiap ujian itu, terlindung satu HIKMAH. Kita hanya perlu berSABAR kerana setiap ujian yang Allah berikan, telah tersedia jalan keluarnya. Hanya menunggu waktu untuk menzahirkan diri.

Mohonlah kepada Allah, bersujudlah kepadaNya, letak lah seluruh pergantungan  hanya kepadaNya. InsyaAllah, pertolongan Allah pasti akan tiba.

Najdah MH
09 Dec 2018


2 comments:

ummu faqeh said...

assalam naj..iez di sini.baru nak start blogging semula setelah btahun2 stop.apa citer naj skrg?

Najdah Mohammed Hussain said...

Wa'alaikumussalam Iez
Najdah macam biasa jer (^^)
Iez tinggal kat mana sekarang?

We'veBeenTogetherFor...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers